Kampung Sungai Tong

Kampung Sungai Tong merupakan sebuah kampung yang terletak di Mukim Hulu Nerus, Setiu, Terengganu Darul Iman. Kampung ini terletak bersempadan dengan daerah Kuala Terengganu di laluan utama jalan persekutuan yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan. Jarak di antara Pekan Seri Langkap ke Bandar Kuala Terengganu ialah sejauh 45 km, manakala jaraknya ke Bandar Permaisuri ialah sejauh 25 km . Kampung ini turut dikenali dengan nama baharunya iaitu Seri Langkap kerana menjadi pusat pentadbiran dan tumpuan utama penduduk di DUN Langkap. Terdapat sebuah pasar malam pada setiap hari Selasa yang menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk membeli keperluan harian dan menjual hasil tanaman mereka. Selain itu, pelbagai kemudahan asas seperti klinik, pejabat pos, balai polis, dewan serba guna, sekolah dan sebagainya disediakan. Jaringan jalan raya di pekan ini juga bertar dan dalam keadaan yang baik. Unit-unit kedai dan premis perniagaan juga terdapat di sini bagi memudahkan penduduk setempat untuk membeli keperluan harian dan ia secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan selain meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.Taman Seri Intan merupakan kawasan perumahan yang menawarkan beberapa unit rumah kos sederhana yang dibina untuk memenuhi keperluan penempatan penduduk setempat.